Laksa Mee


Mungkin ramai yang tidak familiar dengan menu Laksa Mee ini, termasuk saya sendiri. Pertama kali saya mencuba masakan ini apabila mencicipi masakan rakan sekerja saya, Azzieyanna Azwa yang berasal dari Perak.

Mee ini kelihatan seakan-akan spageti. Rasanya juga hampir sama dengan spageti termasuk dari segi kekenyalan rasanya. Cuma Laksa Mee ini agak sukar didapati di kebanyakan tempat dan hanya ada di daerah tertentu di Perak. Laksa Mee yang saya gunakan untuk masak hari ini juga saya beli online kerana tidak dijual di tempat saya.

Teknik memasak laksa mee ini sama seperti penyediaan spageti. Direbus hingga masak & kemudian disiram dengan air agar mee tidak kembang.

Selain itu, kuah sup laksa Mee & sambal tumis perlu disesuaikan dengan rasa mee yang agak masin.

Menu ini sangat ringkas, namun rasanya sangat menyelerakan. Kuahnya yang ditambah keenakan sambal tumis, dengan rasa air udang, kerangupan kacang panjang benar-benar menambat selera.

Sekiranya tuan / puan beroleh manfaat dari perkongsian resepi saya kali ini, panjangkan doa jua buat pemilik resepi Puan Mahyan (Mama Azzieyanna Azwa) agar اَللّهُ kurniakan kebaikan buatnya.

Tidak salah mencuba menu baharu kan? Jom memasak. Selamat mencuba.

Bahan A (Sambal Tumis) - Kisar


Bawang besar - ½ biji (dicincang)
Cili kisar - 2sb
Garam - secukup rasa
Gula - secukup rasa
Perasa - secukup rasa

Bahan B (Sup)

Bawang putih - 3 ulas (dicincang)
Garam - secukup rasa
Gula - secukup rasa
Udang laut - dibersihkan & dikupas kulit
Serbuk perasa - secukup rasa
Kacang panjang - dihiris kecil

Bahan C

Laksa Mee - dicelur
Kacang panjang - dihiris nipis

Cara Memasak

Sambal Tumis (Bahan A)

1.  Tumis cili kering dan bawang besar sehingga pecah minyak.
2.  Masukkan gula, garam dan serbuk perasa (jika suka).  Kacau sehingga warna bertukar menjadi keperangan.

Sup (Bahan B)

1.  Tumis bawang putih sehingga wangi
2.  Masukkan air, garam, gula dan serbuk perasa.  Masukkan udang dan kacang panjang.  Setelah mendidih terus tutup api supaya kerangupan kacang panjang dapat dikekalkan

Laksa Mee



1.  Laksa mee dicelur (ala-ala celur spageti)
2.  Apabila telah lembut, angkat dan toskan.  Lalukan laksa tersebut di bawah air supaya mee tersebut tidak kembang & melekat

Cara Hidangan

1.  Sedap dihidang semasa panas.  Masukkan laksa mee dan kuah sup.  Setelah itu, apabila hendak makan, campurkan bersama sambal tumis mengikut citarasa masing-masing

Credit to : Puan Mahyan (Mama Azzieyanna Azwa)

Comments

Popular Post