Nasi Kerabu Thai

Nasi Kerabu Thai merupakan menu masakan yang mempunyai sentimental value buat saya, memandangkan masakan ini sangat sinonim dengan arwah ibu saya yang berasal dari Selatan Thai. Masyarakat Malaysia telah terbiasa dengan nasi kerabu Kelantan, namun tidak ramai yang tahu perbezaan Nasi Kerabu Kelantan dan Nasi Kerabu Thai.

Memandangkan saya membesar dalam keluarga peranakan Thai, kebanyakan menu-menu masakan yang disediakan oleh ibu saya adalah kulinari dari selatan Thai, termasuk Nasi Kerabu.

Beza Nasi Kerabu Kelantan & Nasi Kerabu Thai adalah pada 'budunya'.  Budu Nasi Kerabu Kelantan tidak dimasak, manakala budu Nasi Kerabu Thai dimasak dengan pelbagai bahan yang menjadikan ia lebih kaya dengan rasa. Antara bahan utama untuk memasak budu adalah daun limau purut, serai, gula melaka & asam keping.

Menyediakan Nasi Kerabu Thai memang agak mencabar kerana penyediaannya mengambil masa yang agak panjang & mempunyai banyak bahan masakan. Namun demikian, hasil dari 'susah payah' tersebut sangat berbaloi kerana rasanya yang enak, selain bahan masakan ini boleh disimpan di dalam peti ais untuk kegunaan masakan akan datang. Antara lain sambal ikan goreng & budu. 

Pada kebiasaannya Nasi Kerabu biasa dimakan bersama Solok Lada, Ikan Celup Tepung, Keropok Ikan yang dihancurkan, Telur Masin, Daging Bakar atau Ayam Bakar. Untuk Nasi Kerabu Thai, ada satu menu tambahan iaitu Kek Bebola Ikan (Tok-tok). Ia menambah keunikan pada masakan ini.

Cara hidangan Nasi Kerabu Thai pula, perahan jus limau nipis, sedikit serbuk lada putih & lada hitam ditabur, serta taburan hirisan daun limau purut ke atas nasi akan menambah keenakan hidangan ini.

Untuk budu, sekadar sendukkan satu sudu kecil budu sahaja kerana ia telah masin & jika digabungkan dengan sambal ikan & kelapa parut (yang juga ada rasa masin) boleh menyebabkan hidangan terlebih asin.

Alright, saya taknak cerita panjang. Semoga resepi ini memberi manfaat untuk semua pembaca. Sekiranya tidak keberatan, jika entry ini memberi manfaat kepada pembaca, mohon sedekahkan Al-Fatihah buat arwah ibu saya yang telah menurunkan resepi turun-temurun ini kepada saya.

Wana rindu Ma.

Selamat mencuba!

Bahan A (Nasi)
Beras
Daun pandan - disimpul
Serai - dititik
Pewarna biru - 1sk
( Boleh juga gunakan Bunga Telang @ Daun Mengkudu untuk pewarna semulajadi Nasi Kerabu )
Air

Cara penyediaan :
Rebus nasi dengan bahan-bahan berikut.

Bahan B (Ulam) - Dihiris
Kubis
Halia
Timun
Daun Limau Purut
Daun Kesum
Serai
Bawang merah
Kacang panjang

Tauge
(Lain-lain ulaman yang x larat nak senaraikan disini.Hehe)

Bahan C (Ikan Celup Tepung)
Ikan sardin / kembung / selayang - 4 ekor
(Direbus bersama asam keping, gula melaka, daun limau purut & garam)
Tepung beras - 2 sudu besar
Serbuk kunyit
Kapur makan - 1 sudu
Garam
Minyak untuk menggoreng

Cara Memasak:
1.  Campurkan tepung beras bersama sedikit kunyit, kapur, garam & gaul sebati
2.  Celupkan ikan ke dalam adunan tepung tadi dan goreng sehingga keperangan

Bahan D (Solok Lada)
Isi Ikan kembong - 3 ekor
( Disisihkan tulang & diambil dagingnya)
Cili besar -5 biji
Cawan kelapa parut - 1
Bawang merah - 4 ulas
Bawang putih - 2 ulas
Halia - 1/2 inci
Serbuk lada hitam - 1sk
Garam - 1sk
Gula - 1sb
Santan pekat - 1/2 cawan

Cara Memasak:
1.  Ikan dibuang tulang dan diambil isinya sahaja (tumbuk halus)

2.  Bawang merah, bawang putih, halia dan lada hitam ditumbuk halus

3.  Kelapa parut ditumbuk kasar.

4.  Gaulkan kesemua bahan-bahan yang ditumbuk tadi , masukkan gula dan garam & gaul rata.

5.  Cili dicuci dan dibelah sedikit & dikeluarkan bijinya.

6.Sumbatkan bahan bahan kisar kedalam cili & masak dengan ½ cawan santan pekat tadi sehingga santan tinggal sedikit.

7.  Siap untuk dihidangkan

Bahan E (Kuah Tumis)
Santan
Bawang merah - 7 ulas
Bawang putih -  3
Bawang besar - 1/2
Cili kering - 15
Halia - 1 cm
Serai - ketuk - 1
Asam keping - 1
Gula - 2 sb
Sedikit gula melaka
Budu - 2 sb
Garam

Cara Memasak:
1.  Blend semua bahan di atas kecuali serai diketuk. Panaskan minyak dan tumis bahan tumbuk dan serai sehingga wangi.

2.  Masukkan sedikit air dan masak sehingga mendidih.Masukkan santan dan sentiasa dikacau supaya santan tidak berketul.

3.  Masukkan asam keping, budu dan gula.

4.  Jika menggunakan budu, dirasakan dulu sebelum dimasukkan garam. Masak sehingga pecah minyak.
 
Cara Hidangan Nasi Kerabu
1. Masukkan nasi ke dalam pinggan
2. Taburkan hirisan ulaman & sambal ikan & kelapa parut
3. Sendukkan budu ke atas nasi
4. Taburkan sedikit serbuk lada sulah, serbuk lada hitam & perahan limau nipis di atas nasi
5. Ramas keropok & tabur di atas nasi
6. Gaulkan semua & makan bersama bahan hidangan lain

Dihidangkan bersama
Telur Masin - dibelah
Keropok Goreng - dihancurkan dengan ramasan tangan
Solok Lada

Daging Bakar
Ikan Celup Tepung
Ulaman dihiris
Jus limau nipis
Serbuk lada sulah
Serbuk lada hitam

Dari : Dapur Wana

Comments

Post a Comment

Popular Post