Rendang Tok

Rendang Tok merupakan menu yang sangat enak apatah lagi disajikan bersama lemang mahupun ketupat. Penyediaannya yang rumit dan agak mengambil masa menyebabkan menu ini biasanya hanya disediakan pada hari istimewa contohnya pada Hari Raya Aidilfitri.

Umum mengetahui yang Rendang Tok ini merupakan resepi tradisi orang Perak. Jadi menu ini sangat 'familiar' di kalangan orang Perak khususnya. Memandangkan kedua-dua ibu & bapa mertua saya berasal dari Perak, Rendang Tok ini sememangnya menjadi kesukaan mereka sekeluarga.

Saya sediakan Rendang Tok kali ini bukan untuk sambutan Hari Raya atau apa-apa keraian. Tetapi meraikan suami tercinta yang hanya sesekali dapat bersua muka memandangkan kami tinggal berjauhan buat masa ini.

Suami saya orangnya sangat bertimbangrasa & seboleh mungkin tidak mahu saya terlalu bersusah-payah semata-mata hendak memenuhi kehendaknya, termasuk dalam soal penyediaan juadah makanan. Dia tidak pernah 'complaint' masakan saya bahkan menikmati masakan saya dengan penuh berselera.

Melihat respons suami yang sangat menghargai setiap masakan saya, bahkan beliau yang memberi galakan agar saya terus berkongsi resepi dalam blog masakan saya, saya sering bersemangat untuk menyajikan juadah buatnya.

Kali ini, suami hanya 'hint' yang hampir sekian lama dia tidak makan Lemang Jagung.  Katanya Lemang Jagung sangat sedap dimakan bersama Rendang Tok.  Walaupun kurang sihat kerana baru rebah di tangga akibat terpijak kasut & badan masih rasa berbisa, tetapi demi suami tercinta saya gagahkan diri untuk memasak untuknya. 

Usai menyediakan Lemang Jagung, saya teruskan dengan memasak Rendang Tok.  Semoga esok pagi ketika dia sampai setelah 8 jam perjalanan, dia akan gembira menikmati juadah yang saya masak. Saya buat 'surprised' untuknya. Sengaja saya rahsiakan saya masak menu ini dan hanya maklumkan telah masak rendang ayam sebelum itu kepadanya (memang benar-benar saya masak rendang ayam).

Cook with love! Semoga suami saya senang hati dengan 'sedikit usaha' saya ini berbanding pengorbanannya yang besar terhadap saya selama ini.

Apalagi, selamat mencuba!

Bahan A 
(Diperap semalaman dengan daging)
Serbuk ketumbar - 1sb (disangrai)
Serbuk jintan manis - 1sb (disangrai)
Serbuk jintan putih - 1sb (disangrai)
Serbuk lada hitam - 1sb

Bahan B (Tumis)
Kayu manis - 2 batang
Bunga lawang - 4 kuntum
Bunga cengkih - 5 batang
Buah pelaga - 6 biji

Bahan C (Kisar halus)
Bawang merah - 10 ulas
Bawang putih - 5 ulas
Lengkuas - 2 inci
Halia - 3 inci
Serai - 5 batang
Cili giling - 5 sb
Kunyit hidup - 1sm

Bahan D
Daging - 1kg
Santan pekat - 1kg
Gula melaka - 50gm
Kerisik - 3sb
Buah keras - 3 biji (diparut) / jika suka
Asam Jawa - secukup rasa
Daun kunyit - 2 helai (dihiris halus)
Daun salam - 3 helai (jika suka)
Garam

Cara Penyediaan
1. Gaulkan daging dengan bahan A & perap semalaman.
2. Panaskan kuali & masukkan daging ke dalam kuali. Masak sehingga daging empuk dengan api perlahan.
(Saya masak dengan pressure cooker untuk menjimatkan masa & supaya daging cepat empuk)
3.  Dalam kuali lain, tumis bahan B sehingga harum.
4.  Masukkan bahan C & tumis sehingga pecah minyak.
5.  Masukkan daging & ke dalam bahan yang sedang ditumis.  Gaul rata.
6.  Masukkan santan & kerisek dan masak dengan api kecil. Sentiasa kacau rendang tanpa henti.
7.  Masukkan daun kunyit, air asam jawa & gula melaka. Perasakan dengan garam.
8.  Masak rendang sehingga kuah kering. Sedap dihidangkan panas-panas.

Comments

Popular Post