Sambal Ikan Nasi Kerabu Thai
Ikan kembung / sardin / selayang - 4 ekor
Bawang merah - 3 biji (dihiris)
Daun limau purut - 2 helai
Asam keping
Gula melaka - 1 keping
Garam - secukup rasa
Gula - secukup rasa
Serbuk lada sulah - 1sk (optional)
Serbuk lada hitam - 1sk (optional)
Kelapa parut - 1 cawan
(Disangrai sehingga warna kecoklatan)
Cara Penyediaan
1. Ikan direbus dengan bahan² di atas selain gula sehingga masak. Setelah itu, toskan ikan rebus. Ambil isi ikan yang telah direbus, sisihkan tulang & sangrai di dalam kuali bersama bahan rebusan tadi. Perasakan dengan garam & gula.
2. Campurkan isi ikan yang telah disangrai dengan kelapa parut sangrai. Gaul sebati bersama serbuk lada sulah & serbuk lada hitam.
3. Jika suka, sambal ikan & kelapa parut tadi boleh dikisar halus sebelum ditabur pada nasi ketika dihidangkan.
Nasi Kerabu Thai merupakan menu masakan yang mempunyai sentimental value buat saya, memandangkan masakan ini sangat sinonim dengan arwah ibu saya yang berasal dari Selatan Thai. Masyarakat Malaysia telah terbiasa dengan nasi kerabu Kelantan, namun tidak ramai yang tahu perbezaan Nasi Kerabu Kelantan dan Nasi Kerabu Thai.
Memandangkan saya membesar dalam keluarga peranakan Thai, kebanyakan menu-menu masakan yang disediakan oleh ibu saya adalah kulinari dari selatan Thai, termasuk Nasi Kerabu.
Beza Nasi Kerabu Kelantan & Nasi Kerabu Thai adalah pada 'budunya'. Budu Nasi Kerabu Kelantan tidak dimasak, manakala budu Nasi Kerabu Thai dimasak dengan pelbagai bahan yang menjadikan ia lebih kaya dengan rasa. Antara bahan utama untuk memasak budu adalah daun limau purut, serai, gula melaka & asam keping.
Menyediakan Nasi Kerabu Thai memang agak mencabar kerana penyediaannya mengambil masa yang agak panjang & mempunyai banyak bahan masakan. Namun demikian, hasil dari 'susah payah' tersebut sangat berbaloi kerana rasanya yang enak, selain bahan masakan ini boleh disimpan di dalam peti ais untuk kegunaan masakan akan datang. Antara lain sambal ikan goreng & budu.
Pada kebiasaannya Nasi Kerabu biasa dimakan bersama Solok Lada, Ikan Celup Tepung, Keropok Ikan yang dihancurkan, Telur Masin, Daging Bakar atau Ayam Bakar. Untuk Nasi Kerabu Thai, ada satu menu tambahan iaitu Kek Bebola Ikan (Tok-tok). Ia menambah keunikan pada masakan ini.
Cara hidangan Nasi Kerabu Thai pula, perahan jus limau nipis, sedikit serbuk lada putih & lada hitam ditabur, serta taburan hirisan daun limau purut ke atas nasi akan menambah keenakan hidangan ini.
Untuk budu, sekadar sendukkan satu sudu kecil budu sahaja kerana ia telah masin & jika digabungkan dengan sambal ikan & kelapa parut (yang juga ada rasa masin) boleh menyebabkan hidangan terlebih asin.
Alright, saya taknak cerita panjang. Semoga resepi ini memberi manfaat untuk semua pembaca. Sekiranya tidak keberatan, jika entry ini memberi manfaat kepada pembaca, mohon sedekahkan Al-Fatihah buat arwah ibu saya yang telah menurunkan resepi turun-temurun ini kepada saya.
Wana rindu Ma.
Selamat mencuba!
Dari : Dapur Wana
Comments
Post a Comment