Ikan Cencaru Sumbat Thai

Ikan cencaru sumbat memang antara menu yang seringkali mengundang kecur air liur setiap kali mendengarnya.

Menu ikan cencaru sumbat pada kebiasaannya menggunakan cili kering sahaja sebagai bahan asas masakan.  Oleh kerana Ikan Cencaru Sumbat yang saya kongsikan pada hari ini merupakan menu yang berasal dari Selatan Thai tempat kelahiran ibu saya, resepinya seringkali tidak dapat lari dari penggunaan Daun Limau Purut. 

Daun Limau Purut merupakan salah satu bahan yang sangat sinonim dalam masakan orang Thailand selain penggunaan Daun Ketumbar dan jus limau nipis yang antara lain menjadi bahan asas masakan terkenal Thai, Tomyam.

So 'artis utama' dalam menu hari ini antara lain adalah daun limau purut. Pastikan daun limau purut ini hanyalah dihiris & tidak dikisar bersama dalam bahan kisar kerana daun limau purut jika dikisar menerbitkan rasa pahit dalam masakan tersebut.  Hirisan daun limau purut dalam masakan ini memberikan kesan bau harum yang menyebabkan secara automatik perut berkeroncong 'ana' 😊.

Untuk kali ini, saya hanya membakar ikan dalam pemanggang ajaib. Jadi, jika ada yang membakar ikan ini menggunakan arang, rasanya lebih memikat kalbu kerana bau arang menambah keenakan kepada masakan.

Apa tunggu lagi, selamat mencuba!

BAHAN A (Kisar) 
Bawang putih - 2 ulas
Bawang merah - 3 ulas 
Halia - 2 inci
Cili kering - 1sb
(Saya gunakan 1 sudu kecil serbuk cili kering(
Pes asam jawa - 1sb
Kelapa parut - ⅔ cawan
Garam - secukup rasa
Gula - secukup rasa

BAHAN B
Ikan cencaru - 3 ekor
(Dibersihkan, dibelah belakang & dilumurkan dengan garam & kunyit)
Daun limau purut - 2 helai (dihiris nipis)

CARA MENYEDIAKAN
1.  Bahan A digaulkan dengan daun limau purut
2. Kemudian sendukkan bahan-bahan yang telah digaulkan bersama ke dalam perut ikan.

3. Bakar ikan lebih kurang ½ jam dengan api perlahan.
(Saya menggunakan pemanggang ajaib, jadi ikan lebih cepat masak kerana wap udara terperangkap & mempercepatkan proses masak. Sekiranya dibakar di atas pemanggang terbuka, masa akan bertambah. Sesuaikan).

4.  15 minit pertama ikan dibakar, balikkan ikan perlahan-lahan agar kulit ikan tidak melekat di pemanggang. Boleh gunakan sudip rata / penyepit ke bawah ikan sebelum dibalikkan.
5.  Setelah ikan dibalikkan, tunggu sekitar 15 minit lagi barulah angkat ikan.
6.  Angkat ikan dengan berhati-hati kerana setelah masak, keadaan ikan menjadi sedikit lembut & senang patah. Gunakan cara yang sama untuk balik ikan tadi untuk angkat ke pinggan hidangan.
7.  Sedap dimakan panas-panas.

Sent from my BlackBerry®

Comments

Post a Comment

Popular Post